Pusingan F1 di Sepang bakal ditamatkan
Semalam, akhbar New Straits Times (NST) telah melaporkan berita yang tidak menyenangkan bagi peminat sukan Formula One negara.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengumumkan ia tidak lagi berminat untuk menganjurkan sukan Formula One.
Ini dikatakan adalah disebabkan oleh kadar kehadiran penonton yang merosot kerana dominasi satu pasukan dalam kejohanan itu. Pasukan Mercedes AMG Petronas telah memenangi piala F1 Constructors Championship buat tiga tahun berturut-turut, menyebabkan ramai peminat hilang selera untuk datang menyaksikan perlumbaan yang didominasi satu pasukan itu.
Situasi ini memaksa SIC untuk “berehat” dari meneruskan penganjuran sukan itu.
“Mungkin adalah lebih baik jika (pusingan F1) Malaysia berehat. Saya rasa sukan F1 tidak lagi menyeronokkan seperti dahulu,” jelas Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali, ketua pegawai eksekutif SIC dalam laporan NST.
Penganjuran sukan F1 adalah antara yang paling mahal untuk dianjurkan oleh mana-mana litar antarabangsa dunia.
Ini kerana kos penganjuran sukan itu telah ditetapkan dan dikawal oleh syarikat F1 Group, syarikat yang memiliki semua hak F1.
Pembahagian keuntungan dari penganjuran F1 didominasi oleh syarikat itu, yang mempunyai hak mengambil semua keuntungan dari pengiklanan di litar dan juga yuran dari siaran acara itu diseluruh dunia.
Negara yang berhajat untuk menjadi hos F1 pula harus membayar F1 Group sekitar RM125 juta setahun untuk mendapat hak penganjuran. Harga ini juga meningkat sebanyak 10% setiap tahun penganjuran.
Dari pembahagian keuntungan penganjuran, SIC hanya boleh mengaut keuntungan penjualan tiket sahaja.
SIC telah menganjur sukan F1 sejak tahun 1999.
Tidak hairanlah dengan keadaan ekonomi negara kebelakangan ini mengapa penganjuran acara F1 menjadi tanda tanya kepada pihak kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam siaran Twitternya turut menyokong hajat SIC untuk merombak semula penganjuran acara F1 di Sepang.
Apa pendapat anda?
Original sources Here
No comments:
Post a Comment
thanks for comment